Sabtu, 4 Julai 2009

Tahniah Kepada Pemenang


Pihak UBK SKPP9(1) mengucapkan tahniah kepada para pemenang yang telah memenangi hadiah dan wang tunai sempena pertandingan mengarang cerita sempena cuti sekolah baru-baru ini. Majlis penyampaian hadiah telah diadakan pada hari Jumaat 03 julai 2009 di dataran perhimpunan dan disempurnakan oleh Pn. Nafishah Binti Hassan Guru besar SKPP9(1). Karya pemenang telah dipaparkan di dalam blog ini bersama dengan gambar pemenang. Semoga ia menjadi pemangkin agar anda lebih berusaha untuk menyertai pertandingan-pertandingan yang mengasah bakat dan minda selepas ini. Kepada peserta yang tidak memenangi pertandingan ini janganlah bersedih hati kerana karya anda juga hebat tetapi sudah menjadi adat pertandingan hanya satu yang akan dipilih. Terima kasih kerana menyertai pertandingan yang julung kali diadakan ini. Cuba lagi pada masa akan datang dan yakinlah bahawa anda adalah salah seorang murid yang terbaik di kalangan yang terbaik!

PENGALAMANKU SEMPENA CUTI SEKOLAH

Nama : Nur Hidayah Hanis binti Mohd Hanafiah
Kelas : 6 Argon


Cuti persekolahan datang lagi… aku berfikir bagaimana untukku habiskan masa selama 2 minggu ini. Pada minggu pertama cuti sekolah, masa dihabiskan dengan kelas tuisyen di sekolah. Pada waktu malam aku meneruskan masaku dengan menonton televisyen. Aku tertanya-tanya tentang perancangan yang perlu ku lakukan pada minggu kedua cuti sekolah. Pucuk dicita ulam mendatang.. ayahku mengajak ku dan ibuku untuk bercuti ke Terengganu memandangkan ayahku ditugaskan ke Terengganu selama 3 hari bermula pada hari Isnin. Ibuku juga telah diluluskan cuti tetapi hanya selama dua hari sahaja. Jadi kami membuat perancangan untuk bertolak ke Terengganu pada awal pagi Ahad. Ini berikutan ayahku dan ibuku perlu menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di Cheras pada hari Sabtu. Ini bermakna, aku berada di Terengganu selama 3 hari.
Hari ini Ahad,8 Jun, aku sekeluarga dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu. Jam sedang menunjukkan pukul 8:15 pagi. Beginilah keadaan aku setiap kali merancang untuk bertolak awal pastinya selalu berlaku kelewatan akibat beberapa perkara kecil yang perlu diselesaikan. Ayahku selalu mengingatkan agar sentiasa menguruskan masa dengan baik. Dalam hatiku berkata bagaimana untukku bersiap awal sedangkan banyak perkara yang perlu diselesaikan seperti memberi makan hamster, ikan dan kucing (sebenarnya bukan kucing aku pun..).
Sebelum sampai ke destinasi, aku sekeluarga berhenti rehat dan makan di sebuah restoran di Cheneh, Terengganu. Makanan di restoran itu juga sungguh menyelerakan dan keadaan di kedai itu juga bersih (tapi..tahap kebersihan kedai itu adalah B). Apabila aku selesai makan, aku sempat menoleh ke sebelah kedai lain dan mendapati kedai tersebut mempunyai tanda A. Maknanya yang paling bersih.. (adoii..tak apa lah, lagipun dah habis makan dah..). Selepas makan, aku meneruskan perjalanan.
Kami singgah sebentar di kedai ibu saudaraku di Ajil. Aku sungguh gembira kerana dapat berjumpa dengan ibu saudaraku. Sewaktu di sana, aku, ibu, ibu saudara dan dua orang sepupuku singgah di kedai keropok ikan kegemaran ibuku. Selepas itu kami pergi ke kedai ‘sata’. Sata itu sejenis makanan yang diperbuat daripada ikan, kelapa muda dan cili. Rasanya sungguh enak. Makanan ini biasanya dibakar dengan menggunakan arang. Makanan ini juga ‘popular’ di kalangan orang Terengganu. Selasai membayar, kami berpatah balik ke kedai ibu saudaraku. Sementara makan, aku juga berpeluang melihat bapa saudaraku mengupas buah salak untuk dijadikan jeruk. Jeruk salak ini dijual dengan harga RM 2 sebungkus.
Pada jam 2:30 petang, aku sekeluarga meneruskan perjalanan. Kami tiba di Hotel Primula Park Royal pada jam 3:00 petang. Memandangkan pada musim ini musim cuti sekolah, hotel kelihatan sesak dengan pengunjung yang ingin menginap di hotel tersebut. Kami mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk mendapatkan bilik. Namun begitu, bilik yang diberikan kepada kami sekeluarga hanya menempatkan sebuah katil ‘Queen’ sahaja. Kami memandang dengan rasa janggal kerana sudah tentu tidak selesa untuk kami bertiga tidur di atas katil tersebut. Ayahku kembali semula ke kaunter untuk mendapatkan bilik yang lebih selesa dan ternyata usaha kami tidak sia-sia. Ayahku memberitahuku bahawa beliau telah bertukar kunci di kaunter. Setelah kembali semula ke bilik yang baru, aku dapati terdapat dua buah katil ‘super single’. Kami tersenyum lebar melihat bilik baru kami. Setelah berehat dan menunaikan kewajipan kami, kami memulakan rancangan pertama kami iaitu makan sotong goreng celup tepung (segar..baru naik dari laut) di Pantai Maras. Di situ juga kami menikmati ikan dan udang celup tepung bersama air batu campur. Perkara yang paling seronok pada waktu itu ialah sewaktu kami berebut-rebut dengan pengunjung lain untuk mengambil sotong yang baru diangkat dari kuali dengan menggunakan penyepit. Kali ketiga diangkat barulah kami mendapat sotong tersebut. Kami makan sotong itu dengan sungguh menyelerakan. Selesai membayar, kami pun beredar dari situ dengan perasaan gembira.
Semasa dalam perjalanan pulang ke hotel, kami ternampak beberapa payung putih di tepi pantai. Keadaan di situ kelihatan seperti di pasar malam. Aku meminta ayahku untuk membawa kami ke sana dan kebetulan pula pada waktu itu waktu maghrib. Ayahku menyatakan bahawa sekiranya aku mahu ke sana, kewajipan solat perlu ditunaikan dahulu. Terdapat dua buah masjid sewaktu dalam perjalanan kami. Aku meminta ayahku berhenti solat maghrib di masjid yang pertama. Ayahku meneruskan perjalanan dan berhenti di masjid yang kedua. Kami menunaikan solat maghrib di situ. Selesai solat maghrib, ayahku berpatah balik untuk membawa aku dan ibuku ke tempat tadi. Rupa-rupanya itu adalah Pesta Pantai untuk tahun ini. Banyak pondok yang diperbuat daripada buluh dan daun nipah kelihatan di persisiran pantai. Terdapat lebih kurang 40 buah pondok didirikan di situ sempena Pesta Pantai yang menggabungkan penduduk di dalam sebuah kampung. Acara pada malam itu adalah acara pertunjukkan wayang kulit. Aku tidak membeli apa-apa pun sewaktu berada di sana. Walaupun aku pulang dengan tangan kosong, aku berasa puas hati kerana dapat melihat keadaan di situ.
9 Jun, selesai bersarapan pagi, aku dan ibuku pergi ke tepi pantai untuk mengambil udara segar dan bermain layang-layang di situ. Malangnya cuaca pada waktu itu panas sehingga membuatkan ku berpeluh seperti berdiri di tengah padang bola sepak. Aku juga tidak berkesempatan untuk bermain layang-layang. Pada waktu itu juga, ibuku berjanji untuk menemani ku bermain layang-layang pada petang ini. Pada jam 10:45 pagi, aku dan ibuku pergi ke Pasar Payang untuk membeli barang. Di situ juga terdapat banyak jenis pilihan barangan yang boleh dibeli. Antaranya baju batik, kain pelikat, rantai kunci dan bermacam-macam lagi. Aku dan ibuku membeli barang seperti seluar, baju, kain batik dan kain pelikat di situ. Sebelum kami ke pasar, kami pergi ke kedai jahit untuk menempah baju seragam ibuku. Baju itu akan kami ambil esok memandangkan esok adalah hari terakhir kami di sini.
Pada waktu petang pula, kami sekeluarga pergi ke pantai untuk bermain layang-layang. Kebetulan pula pada waktu itu aku terserempak dengan dua orang rakan kerja ayahku (seorang lelaki dan seorang wanita). Ketika bermain layang-layang, rakan wanita ayahku mengajak aku dan ibu untuk bermandi-manda di laut. Aku juga sempat melihat ibuku berasa gelisah pada waktu itu. Lama dipujuk, akhirnya ibuku mengalah, kami bertiga bermandi-manda di laut dengan seronok manakala ayahku dan rakan lelakinya sedang berborak sambil memerhatikan kami bertiga.
Pada sebelah malam pula, kami sekeluarga dan beberapa orang rakan ayahku makan malam bersama di sebuah restoran di Marang. Perjalanan untuk ke retoran tersebut mengambil masa lebih kurang 15 minit. Makanan di situ juga sungguh memuaskan. Selesai membayar, kami pulang ke hotel dengan gembira.
Hari ini, 10 Jun, hari yang membuatkan aku rasa tidak berapa puas berada di situ kerana hari ini adalah bukan hari yang aku nantikan. Hari ini adalah hari terakhir aku dan ibu berada di sini. Walaupun kami berdua akan pulang pada jam 9:15 malam, aku berasa tidak puas hati kerana aku merasakan bahawa masa berlalu dengan cepat sekali. Walaupun kelihatan lambat, tetapi bagiku awal sekali kerana aku dan ibu bukan pulang dengan menaiki kereta, malah dengan menaiki kapal terbang.
Aku dan ibu ke kedai jahit untuk mengambil baju. Jam juga menunjukkan 3:30 petang. Pada jam 5:30 petang, kami sekeluarga pergi bermandi-manda di laut sekali lagi. Malangnya, kami terpaksa mandi sekejap sahaja. Ini kerana aku dan ibu terpaksa mengemaskan barang-barang dan cepat bersiap sedia untuk pulang.
Masa yang tak pernah dinanti-nantikan telah tiba. Jam sedang menunjukkan 8:45 malam apabila kami tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Selepas bersalaman dengan ayah dan menurunkan segala beg yang pelu dibawa pulang daripada boot kereta, kami berdua terus menuju ke Departure Hall (tempat berehat semasa menunggu kapal terbang tiba). Apabila kami menyimpan barang-barang di rak yang disediakan kami duduk di tempat kami. Aku berasa sangat gembira sewaktu berada di dalam kapal terbang.
Sebaik sahaja sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, kami mengambil barang lalu berjalan meluru ke stesen keretapi (ERL). Selepas kami tiba di Putrajaya Sentral, kami mengambil teksi sebagai kenderaan pengangkutan kami. Apabila kami tiba di rumah, kami mengemaskan barang-barang dan membersihkan diri. Selepas itu, kami ke dapur untuk makan malam walaupun jam sudah menunjukkan 10:30 malam. Ini kerana kami tidak sempat makan malam sebelum bertolak tadi. Selepas makan, kami berehat sebentar dan terus masuk ke bilik untuk tidur. Sebelum tidur, aku memikirkan sesuatu… ‘walaupun terpaksa pulang awal, aku tetap gembira kerana itu adalah kenangan manis ku sempena cuti sekolah ini… “Selamat malam…”

Melawat Ke Zoo Negara

Nama : Nurul Nadia Bt Khanapi
Kelas : 5 Mangifera

Pada cuti sekolah tahun lepas, saya dan keluarga saya pergi ke Zoo Negara. Pada waktu itu, saya lihat para pengunjung tidak berapa ramai lagi. Ini kerana, kami datang di sana pada awal pagi. Haiwan pertama yang kami lihat di situ ialah gajah dan zirafah. Saya berasa gembira kerana ini kali pertama saya dapat tengok gajah secara dekat.

Selepas lihat gajah dan zirafah, saya dan keluarga saya pergi jalan-jalan sekitar zoo. Semasa tengah jalan-jalan itu, saya dapat lihat banyak binatang. Contohnya seperti singa, harimau, buaya, ular, burung dan macam-macam lagi. Kami juga ada pergi melawat ke tempat orang utan. Saya berasa geli hati tengok telatah orang utan itu. Saya menangkap gambar bersama-sama orang utan itu.

Setelah penat berjalan-jalan, kami pergi ke suatu gerai makan yang ada di situ untuk mengisi perut yang sudah lapar. Selepas mengisi perut, kami pergi jalan-jalan ke gerai cenderamata. Saya lihat banyak cenderamata yang dijual di sini. Contohnya anak patung, baju dan sebagainya. Saya menyuruh ayah saya membeli baju yang terdapat di situ.

Kemudian, kami pergi ke tempat pameran kuda, burung dan ular. Di situ, saya dan kakak saya bergambar bersama-sama haiwan tersebut. Saya berasa takut dan geli untuk memegang ular sawa. Ibu pun tidak berani dan berasa takut juga untuk memegang binatang-binatang tersebut.

Saya dan kakak saya berasa sangat penat kerana kami asyik berjalan-jalan sahaja. Saya tidak melepaskan peluang untuk pergi melihat aksi anjing laut yang terdapat di Zoo. Aksi anjing laut itu sungguh kelakar dan menakjubkan. Kakak saya merakamkan kenangan itu di dalam kamera.

Dalam pukul 2 petang, makcik saya telefon ayah saya kerana dia hendak datang ke rumah pada waktu petang. Kami berasa kelam kabut untuk pulang ke rumah dengan cepat. Mak saya menyuruh ayah saya singgah ke Alamanda untuk membeli lauk untuk mereka. Dalam kereta, kami tertidur kerana terlalu penat berjalan. Akhirnya, saya dan keluarga saya sampai rumah pada pukul 4 petang.

BERCUTI KE TAMAN NEGARA, PAHANG

Nama : Nuraina Farhanah Binti Mohd Suffian
Kelas : 4 Cananga
'
Pada cuti sekolah baru-baru ini, saya sekeluarga telah melawat ke Taman Negara yang terletak di negeri Pahang. Kami ke sana selama tiga hari.
Sampai sahaja di Kuala Tahan, kami singgah di restoran terapung untuk makan tengahari dan solat Zohor. Selepas itu, kami menyeberangi sungai dengan menaiki bot untuk ke Mutiara Resort. Sampai sahaja di Mutiara Resort, ayah saya pergi membuat pendaftaran masuk ke bilik penginapan. Tempat penginapan saya adalah berdekatan dengan hutan. Saya ternampak seekor babi hutan sedang berkeliaran.
Pada hari kedua, saya dan ibu telah ke Lata Berkoh pada waktu pagi. Perjalanan ke sana mengambil masa selama dua jam dengan menaiki bot. Bot yang kami naiki tidak dapat meneruskan perjalanan. Kemudian, kami terpaksa berjalan di dalam hutan selama 30 minit untuk sampai ke Lata Berkoh. Ini adalah kali pertama saya memasuki hutan dan saya agak gementar. Sampai sahaja di sana, saya ingat di sana boleh mandi tetapi ia sangat merbahaya. Namun saya berkesempatan untuk melihat ikan-ikan dan memberi ikan makan. Spesis ikan yang dilindungi di sini ialah ikan kelah. Kemudian kami pulang dengan gembira sekali.
Sebelah petang pula, saya telah pergi ke perkampungan orang asli kaum Batek. Mereka merupakan kaum yang pemalu. Tok Batinnya bernama John Kumbang. Dia menunjukkan cara-cara untuk menghidupkan api dengan kaedah unik menggunakan kayu. Dia juga menunjukkan cara menyumpit untuk memburu binatang.
Pada hari ketiga, saya pergi ke Jambatan Kanopi. Ia adalah jambatan gantung yang terpanjang di dunia. Jaraknya ialah 500 meter. Saya terpaksa memasuki hutan untuk ke Jambatan Kanopi selama 30 minit. Apabila saya melangkah masuk ke jambatan itu, saya mula merasa amat gayat, namun saya memberanikan diri. Pemandangan dari atas jambatan sungguh indah menunjukkan kebesaran dan kehebatan ciptaan Allah.
Pengalaman ini amat bermakna bagi saya. Saya tidak akan melupakan pengalaman ini.