Khamis, 28 Mei 2009

Pertandingan Mengarang Cerita..


Sempena dengan cuti sekolah ini Unit Bimbingan & Kaunseling SKPP9(1) akan menganjurkan satu pertandingan di kalangan murid-murid iaitu mengarang cerita berkaitan dengan peristiwa, pengalaman mahu pun aktiviti yang dilakukan pada masa cuti sekolah. Penyertaan terbuka kepada murid tahap dua ( tahun 4, 5 dan 6) dan hadiah menarik menanti pemenang. Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Manfaatkan masa cuti anda sebaiknya dan menangi hadiah apabila anda hadir ke sekolah kelak!!

Ahad, 24 Mei 2009

Good Luck In Your Exams!

Didoakan agar semua murid dapat menghadapi peperiksaan pertengahan tahun ini dengan jayanya. Hadir awal ke sekolah dan buatlah pilihan sebaik mungkin sebelum menjawab soalan. Sesiapa yang berusaha pasti akan berjaya dan sesiapa yang malas hanya kegagalan adalah miliknya. Be the best among the best!

Sabtu, 23 Mei 2009

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang


Unit Bimbingan & Kaunseling SKPP9(1) mengucapkan sekalung tahniah kepada guru-guru dan staf sekolah ini yang telah mendapat anugerah perkhidmatan cemerlang sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Pejabat Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 23 Mei 2009. Anugerah disampaikan oleh Timbalan Pengarah PPWPP Tuan Haji Khairil Bin Awang. Semoga anugerah yang diterima ini membakar lagi semangat anda untuk terus berkhidmat dengan lebih gigih dan cemerlang di masa akan datang. Tahniah!!!

Guru-guru dan staf yang menerima anugerah ialah:
1) Puan Zaidas Binti Hamzah
2) Puan Juriah Binti Haji taib
3) Puan Rozilah Binti Md Khir
4) Puan Saliza Binti Saludin
5) Puan Sanisah Binti Samad
6) Puan Nasiam Binti Dahuri

Jumaat, 22 Mei 2009

Teknik Berkesan Menghadapi Peperiksaan

Menjadi tanggungjawab setiap murid untuk belajar sepanjang masa sekiranya ingin mendapatkan kejayaan. Kebolehan sepanjang persekolahan diuji di dalam peperiksaan. Oleh itu, hadapilah peperiksaan dengan persediaan yang rapi supaya kejayaan yang diraih dapat mengukur usaha anda selama ini.

JENIS-JENIS PERSEDIAAN

1. Persediaan Akademik
2. Persediaan Mental
3. Memulakan Peperiksaan
4. Menjawab Soalan

PERSEDIAAN AKADEMIK
Persediaan Akademik terbahagi kepada 3 peringkat iaitu :

Persediaan Peringkat Awal
Iaitu persediaan disepanjang waktu persekolahan. Ini termasuklah tumpuan semasa di dalam kelas, melengkapkan nota-nota, membaca semua mata pelajaran dan membuat nota. Fahamkan apa yang dipelajari dan rujuk kepada guru jika ada masalah.

Persediaan Peringkat Pertengahan
Iaitu kira-kira 2 bulan sebelum peperiksaan. Elok sekiranya murid membaca balik semua nota ringkas dan cuba ringkaskan nota kepada fakta-fakta yang penting sahaja. Buatlah kata-kata kunci untuk setiap nota. Untuk memastikan murid mengingati apa yang telah dipelajari, tuliskan kembali apa yang diingati. Pastikan anda faham setiap mata pelajaran. Untuk menguatkan ingatan, cuba berbincang dengan kawan-kawan. Buat latihan untuk soalan-soalan lepas bagi membiasakan diri dengan format soalan peperiksaan.

Persediaan Akhir
Iaitu seminggu sebelum peperiksaan. Baca kembali semua nota ringkas. Pastikan anda mengingati semua mata pelajaran peperiksaan. Nota ringkas seharusnya mengandungi kata-kata kunci sahaja. Semak nota sekerap yang boleh sehingga anada dapat menulis kembali isi sesuatu mata pelajaran dengan lengkap.

PERSEDIAAN MENTAL
Malam Peperiksaan

- Pastikan anda tidur secukupnya untuk memberi kesegaran pada esoknya.
- Kumpulkan keperluan teknikal untuk peperiksaan seperti pen, pensel, pemadam, pembaris, dan lain-lain kemudian letakkan di tempat yang senang diambil dan mudah diingati.
- Kuatkan azam dan tekad untuk BERJAYA.

Pagi Sebelum Peperiksaan
- Jangan lupa ambil sarapan pagi.
- Datang awal ke sekolah iaitu sekurang-kurangnya 15 minit sebelum peperiksaan.
- Berdoalah agar anda tenang menghadapi peperiksaan dan mendapat kejayaan yang cemerlang. - Masuklah ke tempat peperiksaan dengan disiplin dan keyakinan.
- Pastikan tempat duduk anda selesa. Duduk dan tenangkan fikiran anda.

MEMULAKAN PEPERIKSAAN
- Dengar arahan guru pengawas peperiksaan.
- Pastikan kertas soalan anda itu lengkap.
- Lihat semua soalan.
- Tandakan semua soalan yang hendak dijawab.
- Tuliskan isi-isi soalan yang hendak dijawab supaya tidak lupa.
- Mulakan soalan karangan dengan membuat rangka kasar terlebih dahulu.

MENJAWAB SOALAN
- Bahagikan masa untuk setiap soalan.
- Baca soalan dengan teliti. Kesankan perkataan BENAR, TIDAK BENAR, MELAINKAN, KECUALI dan sebagainya.
- Lihat semua pilihan jawapan.
- Pastikan jawapan ditanda pada petak yang betul.
- Jawab soalan yang mudah dahulu. Tandakan soalan yang belum dijawab. Setelah siap, kembali semula kepada soalan susah yang ditinggalkan.
- Jika ingin mengubah jawapan, padamkan dengan bersih dan tandakan jawapan baru dengan elok. Jangan menanda dua jawapan pada satu soalan.
- Jawab semua soalan yang ditetapkan.
- Setelah selesai menjawab, luangkan sedikit masa untuk menyemak. Pastikan nombor soalan yang ditulis adalah betul. Semak ejaan, ayat dan maklumat lain yang tidak jelas.
- Tulisan mestilah jelas, kemas dan mudah dibaca.


Persediaan yang rapi serta ketenangan fikiran amat penting di dalam menghadapi peperiksaan. Jadikanlah peperiksaan sebagai kayu ukur di atas persediaan yang anda buat selama ini dan bukanlah sesuatu yang menyiksa dan membebankan. Bertawakkallah kepada Allah, InsyaAllah anda pasti berjaya.

Rabu, 20 Mei 2009

Selamat Menghadapi Peperiksaan

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2009 SKPP(1) akan diadakan pada tarikh 25 hingga 28 Mei ini iaitu hari pada Isnin hingga Khamis minggu hadapan. Untuk itu cikgu lampirkan jadual peperiksaan tahap 1 dan tahap 2 sebagai rujukan murid dan ibu bapa. Selamat Maju Jaya!



Selamat Hari Guru dari UBK SKPP91

UBK SKPP91 mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru SKPP9(1). Semoga kita semua dirahmati dan diberkati Illahi. Buat anak murid yang ingin memberikan ucapan kepada guru-guru anda bolehlah berbuat demikian di ruangan 'comments' di bawah.

Selasa, 19 Mei 2009

Motivasi ABC


A = Asah Bakat Dan Potensi Anda
B = Bayangkan Cita-Cita Besar
C = Ciptalah Kehidupan Yang Baik
D = Doronglah Diri Anda Ke Puncak Jaya
E = Ehsan Sesama Manusia
F = Fikir Masa Depan Anda
G = Gambarkan Kemenangan
H = Hiburkan Diri Anda Dan Orang Lain
I = Impikan Apa Yang Boleh Anda Jadi
J = Jimat Cermat Dalam Segala Hal
K = Kesihatan Diri, Akal Dan Jiwa Harus Diutamakan
L = Lawan Nafsu Jahat Anda
M = Maafkan Kesalahan Orang Lain
N = Nekad Menanggani Masalah
O = Orang Lain Sumber Pengalaman Anda
P = Percaya Pada Ketentuan Illahi
Q = Qiamullail Mendekatkan Diri Kepada Allah
R = Restu Ibu Bapa Membawa Barakah
S = Sentiasa Mempunyai Semangat Ingin Mencuba
T = Tolonglah Orang Yang Memerlukan
U = Usaha Bersungguh-Sungguh
V = Visi Dan Misi Perlu Jelas
W = Waktu Sangat Berharga
X = X-Ray Dan Muhasabah Diri Selalu
Y = Yakin Kemampuan Dan Kebolehan Diri
Z = Zaman Muda Hanya Sekali, Jangan Sia-siakan

Assalamualaikum Semua

Rasa syukur dipanjatkan kehadrat Illahi kerana memberikan peluang untuk cikgu mewujudkan blog ini sebagaimana dirancang untuk murid-murid semua. Blog bimbingan 911 ini cikgu adakan khas untuk murid sekolah ini dengan tujuan untuk memberikan perkhidmatan sebaik mungkin disamping memanfaatkan teknologi yang sedia ada.
Dengan wujudnya blog ini adalah diharapkan agar murid-murid semua dapat mencari maklumat berkaitan pelajaran, motivasi seterusnya maklumat berkaitan bimbingan dan kaunseling secara langsung atau tidak langsung. Manfaatkanlah blog ini sebaiknya. Sekiranya terdapat pandangan dan cadangan bolehlah dinyatakan di sini. Sebarang masalah jangan lupa untuk bertemu dengan guru bimbingan dan kaunseling anda di sekolah. Jangan lupa untuk senyum 1... 2... 3... :-)