Isnin, 28 September 2009

Adab - Adab Pergaulan

Dipetik daripada Kitab Mau'izatul Mu'minin, karya Imam Al-Ghazali.

Jika kamu ingin berbual secara baik dan sopan, maka ikutilah petunjuk-petunjuk ini:

Hadapilah kawanmu atau musuhmu itu dengan wajah yang menunjukkan kegembiraan dan kerelaan serta penuh kesopanan dan ketenangan. Jangan sekali-kali kamu menampakkan sikap angkuh, sombong dan berasa tinggi diri.

Rendahkanlah dirimu tapi bukan kerana perasaan kurang harga diri. Dalam segala hal, letakkan menurut ukuran yang pertengahan, sebab sesuatu yang berlebihan dari segala macam perkara itu pasti tidak baik dan tercela.

Jangan gemar melihat di kedua sampingmu, kanan atau kiri. Jangan pula banyak menoleh ke mana-mana. Jangan pula terlampau tajam memandang orang lain. Jikalau engkau duduk, maka janganlah seolah-olah sebagaimana orang yang tidak tenang duduknya dan seperti orang yang hendak melompat-lompat sahaja.

Usahakanlah supaya dudukmu itu sentiasa tampak tenang, kata-katamu selalu teratur dan tertib. Dengarlah hati-hati percakapan orang yang ada di mukamu, tanpa menunjukkan kehairanan yang amat sangat. Jangan pula engkau biasa meminta orang lain mengulangi perbicaraannya. Jikalau ada hal-hal yang mentertawakan, maka diamlah secepat mungkin.

Janganlah dalam bercakap-cakap itu engkau membanggakan dirimu sendiri, anak-anakmu, rambutmu, karangan-karanganmu atau apa sahaja yang engkau anggap suatu keistimewaan dalam dirimu atau keluargamu.

Jikalau engkau berdebat, pegang teguhlah kesopanan. Janganlah engkau dianggap manusia yang bodoh dan tolol oleh orang lain, terutama oleh lawanmu. Jauhkanlah sikap tergesa-gesa, fikirkanlah masak-masak hujah atau bantahanmu. Jangan sesekali berisyarat dengan menggunakan tangan dan jangan pula suka menoleh ke belakang.

Jikalau engkau sedang marah, diamlah dulu dan setelah reda kemarahanmu, ucapkanlah isi hatimu dengan baik.

Jumaat, 25 September 2009

Isnin, 14 September 2009

Sedia Kit H1N1 Ketika Raya

KUALA LUMPUR: Bimbang dengan kemungkinan Influenza A (H1N1) merebak pantas ke seluruh negara berikutan pergerakan besar-besaran rakyat ketika cuti Aidilfitri hujung minggu ini, orang ramai disaran membawa bersama kit pencegahan H1N1 sepanjang masa dan ke mana saja mereka pergi. Mereka yang akan pulang berhari raya di kampung halaman atau bercuti sempena cuti panjang Aidilfitri minggu depan juga diminta menjaga kebersihan diri dan sentiasa peka terhadap tanda-tanda kemungkinan dijangkiti penyakit itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata kit mengandungi topeng mulut dan hidung, tisu serta pencuci tangan antikuman yang tidak perlu dibilas boleh disediakan sendiri atau dibeli di farmasi. "Ia perlu dianggap sebagai barang perlu dimiliki oleh semua yang bercadang balik kampung sama ada menggunakan kenderaan sendiri atau perkhidmatan awam. "Kit H1N1 boleh disediakan sendiri dan perlu sentiasa dibawa. Hanya perlu ada tiga komponen untuk melengkapkan kit itu yang mempunyai pencuci tangan antikuman, topeng penutup mulut serta hidung dan tisu," katanya semalam.

Orang ramai juga disaran mengehadkan pertemuan dan pergaulan ketika bercuti dan menggunakan topeng serta kerap mencuci tangan. Selain itu, orang ramai yang mempunyai gejala selesema serta berisiko dihinggapi jangkitan disaran menggunakan pengangkutan sendiri untuk pulang ke kampung. "Namun, jika terpaksa menggunakan pengangkutan awam, mereka perlu memakai penutup hidung serta mulut bermula dari saat menunggu di kawasan terminal sehingga berlepas, selain mengamalkan kebersihan tangan sepanjang masa," katanya. Dr Mohd Ismail berkata, pengendali pengangkutan awam dinasihatkan menyediakan tong sampah bertutup dan pencuci tangan antikuman bagi mengelakkan jangkitan.

Katanya, penumpang kenderaan awam, terutama bas perlu memastikan kertas tisu muka yang sudah digunakan dibuang dalam tong sampah yang ditutup. "Langkah pencegahan ini perlu dilakukan sepanjang berada di kampung. Jika mengalami tanda-tanda seperti selesema atau batuk, elakkan berada terlalu hampir dengan anggota keluarga. "Selain itu, jika boleh elak daripada menghadiri majlis rumah terbuka atau kenduri dan berada di tempat yang sesak. Bagaimanapun, jika perlu menghadirinya, sentiasa memakai topeng penutup hidung serta mulut," katanya. Beliau juga mengingatkan mereka yang sihat dan tidak ada simptom Influenza Like Illness (ILI) mengambil langkah berjaga-jaga dengan meneruskan amalan mencuci tangan setiap kali ingin menjamah makanan atau selepas bersalaman. Sementara itu, Dr Mohd Ismail berkata, tiada kematian baru akibat H1N1 dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kes kematian kekal 74 orang.
'
Oleh : Sazarina Shahrim

Ahad, 13 September 2009

Keistimewaan Malam Lailatul Qadar


Allah Ta'ala telah berfirman di dalam surah Al-Qadr yang bermaksud:

"Sesungguhnya kami telah menurunkan (Al-Quran) pada malam al-Qadr dan apakah jalan yang menyebabkan engkau mengerti (kebesaran) lailatul qadar itu? Lailatul qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan tuhan mereka (Allah), untuk setiap urusan. Sejahteralah malam ini hingga terbit fajar".

Kebanyakan ulama' Islam menegaskan bahawa kemungkinan berlakunya lailatul qadar adalah pada salah satu daripada malam kesepuluh terakhir sama ada malam ganjil ataupun malam genap.

Yang tetap berlakunya malam lailatul qadar adalah didalam pengetahuan Allah jua. Sesiapa sahaja yang beribadah di malam hari bulan ramadhan, jika kebetulan dengan malam lailatul qadar, maka dikurniakan ganjaran pahala melebihi ganjaran pahala yang dikurniakan kepada mereka yang beribadah selama seribu bulan atau selama 83 tahun 4 bulan berbanding dengan malam yang lain-lain.

Rasulullah s.a.w. sendiri amat bersungguh-sungguh menghidupkan sepuluh malam terakhir daripada bulan ramadhan bersama-sama ahli keluarganya dengna beribadah, bertadharu', beristighfar dan bermunajat kehadrat Allah, memohon rahmat, keampunan dan keredhaanNya.

Walaupun Rasulullah s.a.w. seorang yang maksum, dijamin terpelihara daripada dosa dan noda bahkan dijamin syurga, namun baginda tetap berjaga malam untuk qiamullail, menahan diri daripada tidur kecuali untuk seketika sahaja. Orang yang tekun beribadah pada 10 malam yang terakhir daripada bulan ramadhan akan mendapat rahmat yang dijanjikan sama ada dapat atau tidak menemui apa-apa tanda. Kerana yang penting adalah sepertimana yang tersebut dalam hadis sohih riwayat Bukhari dan Muslim iaitu:

  • Menghayati malam tersebut dengan ibadah
  • Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
  • Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.
Selain tanda-tanda tersebut, para alim ulama' menyebut bahawa beberapa tanda-tanda lain bila berlaku malam lailatul qadar. Antaranya ialah :

  • Ada yang berkata orang yang menemui malam lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang disegenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.
  • Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.
  • Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
  • Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

*Imam Tabari pula menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya seseorang itu dapat melihat atau mendengar kerana tidak disyaratkan melihat atau mendengar sesuatu untuk menemui malam lailatul qadar.


Sumber: http://www.al-azim.com/

Jumaat, 11 September 2009

Bagaimana Menghilangkan Perasaan Marah


1) Mula-mula Kita perlu malu dengan Allah s.w.t akan segala tindak-tanduk Kita. Allah memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadab Kita.

2) Bila datang rasa hendak marah, ingatlah Kita ini hanyalah manusia yang hina.

3) Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah agar Allah jauhkan Kita daripada sifat marah.

4) Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah itu mungkin akan membawa kepada permusuhan dan pembalasan dendam dari orang yang Kita marahi.

5) Cuba bayangkan betapa buruknya rupa Kita ketika Kita sedang marah. Ianya lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang jikalau anda di dalam keadaan yang marah.

6) Apabila datang marah, banyakkan baca Ta'awwuz ( A'uzubillahi Minas Syaitanirrajim ) kerana marah itu datangnya daripada syaitan.

7) Apabila marah sedang memuncak, ambil wudhu' kerana wudhu' dapat menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

8) Tauhid Kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datangnya dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa pula Kita perlu marah.

9) Kalau Kita bersalah, Kita tidak suka orang memarahi Kita. Maka begitulah orang lain yang melakukan kesilapan, juga tidak suka dimarahi. Tegurlah dengan lemah lembut dan dengan kasih sayang.

10) Maafkan segala kesalahan orang pada Kita kerana kemaafan akan meredakan sifat marah dan ia akan membuatkan Kita hidup lebih ceria.

Khamis, 10 September 2009

Coretan GBKSM1: Pengalaman Menjadi Pengawas Peperiksaan


Alhamdulillah hari ini pada pukul 3.45 petang tamatlah sudah murid-murid tahun enam menduduki peperiksaan UPSR 2009. Peperiksaan yang bermula pada 08 September dengan dimulai kertas Bahasa Malaysia (Pemahaman) dan berakhir pada hari ini 10 September 2009 dengan kertas Aptitud.

Untuk pengetahuan murid sekalian, tahun ini juga merupakan tahun kedua Cikgu bertugas sebagai pengawas peperiksaan. Tiada bezanya dengan tahun sebelumnya di mana selain menjadi pengawas peperiksaan Cikgu juga ditugaskan sebagai pengawas pengiring untuk mengambil kertas peperiksaan di bilik kebal bersama dengan ketua pengawas. Bilik kebal adalah sebuah bilik yang menempatkan soalan peperiksaan. Ia dikawal selia dengan rapi dari sebarang pencerobohan bagi memastikan tidak berlaku kebocoran maklumat terhadap soalan peperiksaan yang mungkin mengakibatkan peperiksaan itu terpaksa dilakukan semula. Untuk tujuan tersebut kami guru-guru pengawas terpaksa keluar seawal pagi untuk mengambilnya dan tidak dibenarkan berseorangan bagi menjamin soalan sampai tepat pada masanya dan murid dapat menjawab dengan sempurna.

Kali ini Cikgu dan dua orang guru dari sekolah lain ditugaskan untuk mengawas sebuah sekolah yang mempunyai seramai 43 orang calon yang menduduki peperiksaan UPSR. Banyak atau sikit calon sebenarnya tidak banyak mengurangkan tugas kami sebagai guru pengawas peperiksaan. Di sini ingin Cikgu kongsi sedikit pengalaman semasa bertugas sebagai pengawas peperiksaan. Kesempatan yang ada Cikgu dapat melihat ragam murid yang pelbagai. Ada yang tiba lewat dari masa yang sepatutnya berkumpul, menjawab tidak mengikut arahan soalan, menjawab dengan sambil lewa iaitu sambil kepala di meja seolah-olah berada di rumah sendiri, berulang alik ke tandas untuk setiap kertas peperiksaan, tidak sempat menjawab soalan apabila masa sudah tamat, mengotorkan meja dengan sisa asahan pensel dan pemadam, menjatuhkan alat tulis dan slip peperiksaan berulang kali, tidur apabila sudah siap sedangkan masa masih ada untuk tujuan semakan dan yang paling menyedihkan Cikgu dalam banyak-banyak yang diperhatikan terdapat sebuah kerusi kosong di samping murid lain menjawab soalan. Ini bermakna terdapat seorang murid yang tidak hadir selama tiga hari berturut-turut untuk peperiksaan ini. Tiada apa lagi yang hendak Cikgu katakan kalau sudah itu pilihan dirinya dan dengan kerelaan kedua ibu bapanya.

Begitulah serba sedikit catatan yang dapat Cikgu kongsi pada murid sekalian. Cikgu tahu terdapat juga murid Cikgu yang melakukan perkara yang sama sebagaimana yang disebutkan di atas. Tidak dinafikan dalam semua yang tidak bagus itu ada juga yang bagusnya. Sengaja Cikgu utarakan di sini yang negatif sebagai panduan agar kelak akan bertambah ke arah positif. Pesanan terakhir Cikgu, Jadikan peperiksaan kali ini sebagai pengalaman berharga murid sekalian. Jangan lakukan lagi kesalahan yang telah dilakukan dalam peperiksaan ini pada peperiksaan mendatang. Murid yang baik adalah murid yang belajar dari gurunya dan belajar dari pengalamannya. Semoga peperiksaan kali ini memberikan keputusan yang cemerlang dan menjadi kenangan manis buat dirimu, keluarga, sekolah dan Cikgu sendiri. Wassalam.

Selasa, 8 September 2009

All The Best!!!


Masa yang dinantikan sudah tiba.. Lakukanlah yang terbaik untuk UPSR kali ini. Bulatkan tekad dan kuatkan semangat. Kami di UBK sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anda. Kejayaan anda adalah kebanggaan kami. Teruskan perjuangan. All The Best!!

Sabtu, 5 September 2009

GEMURUH UPSR SKPP9(1)

'

*** Untuk melihat video klik 'STOP' pada ruangan radio di sebelah bawah kanan blog.

'

Memandangkan peperiksaan UPSR tinggal beberapa jam sahaja dari sekarang maka cikgu paparkan video kursus motivasi yang pernah murid sekalian sertai satu ketika dahulu. Satu kenangan yang manis buat cikgu sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah ini bersama dengan anda semua murid-murid tahun enam 2009. Semoga perasaan gemuruh yang anda rasakan sekarang adalah gemuruh yang membawa kejayaan dan kegemilangan seterusnya memecahkan rekod pencapaian terbaik UPSR sekolah ini. GOOD LUCK IN YOUR EXAMS!!!

Jumaat, 4 September 2009

Motivasi Inspirasi Untuk Kejayaan

Cikgu paparkan video ini untuk dijadikan sumber inspirasi kepada sesiapa sahaja terutamanya individu yang merasakan dirinya tertekan dan putus harapan untuk berjaya. Semoga ia menjadi pembakar semangat dan inspirasi buat anda. Bersyukurlah dengan apa yang dimiliki sekarang dan hargainya ia sementara masih ada terutamanya kedua ibu bapa. Buktikan bahawa andalah insan terpilih dan terbaik dilahirkan ke dunia ini walaupun dengan serba kekurangan.

'

*** Untuk melihat video klik 'STOP' pada ruangan radio di sebelah bawah kanan blog.

'

"KECEMERLANGAN akan tercipta apabila INDIVIDU BIASA, daripada keluarga biasa, dengan kecerdasan biasa, tetapi BERUSAHA secara LUAR BIASA!!!"

Persediaan Menghadapi Peperiksaan


Kepada semua calon SKPP9(1) yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada 8 hingga 10 September 2009, di sini cikgu paparkan semula bahan ceramah sebagaimana yang telah dijanjikan dan mudah-mudahan ia membantu kalian dalam menghadapi peperiksaan. Lakukan yang terbaik untuk diri sendiri, sekolah, guru-guru dan demi ibu dan ayah yang tercinta. Cikgu doakan segalanya dipermudahkan dan beroleh kejayaan. Selamat Maju Jaya. "Be The Best, Among The Best".

Persediaan Menghadapi Peperiksaan
· Tenangkan fikiran
· Berdoa
· Yakin
· Bijak bahagi masa
· Merancang jawapan
· Jawapan selaras dengan kehendak soalan
· Jawab soalan sebagaimana diarahkan
· Jawapan perlu jelas agar difahami pemeriksa
· Tulisan kemas dan cukup besar
· Semak / teliti semula jawapan

Malam Sebelum Peperiksaan
Lakukan amalan kerohanian yang sewajarnya.
• Sembahyang / Doa / Minta doa & restu ibu bapa
Sediakan semua bekalan yang diperlukan.
• Pakaian bersih. / Peralatan tulis / jam
• Wang saku / bekalan / Lain-lain keperluan
Tidur awal
• Elakkan dari menonton TV.
• Jika perlu telefon kawan, lakukan secara ringkas
• Pastikan memasang jam penggera masa.

Pagi Peperiksaan
· Mandi air suam.
· Sembahyang hajat.
· Sarapan / sahur
· Minum glukosa
· Pakai minyak wangi.
Keluar rumah cium tangan ibu bapa.
· Datang awal.

Semasa Di Luar Dewan Peperiksaan
· Tenangkan diri
· Elakkan perbincangan
· Lakukan senaman ringan
· Kemaskan diri
· Tarik nafas panjang
· Ambil Wuduk
· Periksa Semua Peralatan
· Buang Air Kecil / Besar
· Doa Beramai-Ramai

Semasa Di Dalam Dewan Peperiksaan
· Baca selawat / langkah kanan.
· Duduk dengan selesa.
· Berdoa.
· Tarik nafas panjang beberapa kali.
· Senyum untuk lebih tenang dan yakin.
· Yakin, “ Dapat Jawab Dengan Cemerlang ”.
· Dengar arahan pengawas.
· Baca arahan dalam kertas dengan teliti.
· Bahagikan masa dengan bijak.
· Buat rangka jawapan.
· Jika tidak faham arahan atau soalan, angkat tangan.
· Jangan berkelakuan yang mencurigakan.
· Beristighfar kalau tidak dapat jawab atau hilang punca.
· Semak semula jawapan.
· Tidak melukis sebarang gambar
· Elakkan menulis surat rayuan

Petua Selepas Peperiksaan
· Luangkan masa untuk bersalam dan ucap terima kasih kepada guru-guru pengawas.
· Ambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan.
· Kalau kurang yakin dengan sebarang jawapan, tidak perlu dibincangkan dengan rakan.
· Ucapkan terima kasih dan minta maaf kepada guru-guru anda.
· Ketepikan tabiat melepas geram dengan merosakkan kelengkapan dan peralatan sekolah.
· Aturkan perancangan bagi mengisi masa cuti.

Khamis, 3 September 2009

DOA SEBAGAI SENJATA MUKMININ (KHUSUS BUAT CALON UPSR 2009)



Mungkin ada dikalangan pelajar yang mengalami 'stress' atau tertekan apabila menjelangnya peperiksaan besar seperti UPSR. Sesungguhnya peperiksaan itu ibarat medan pertempuran.Mari kita susuri sirah junjungan mulia kita Nabi Muhammad SAW dimana baginda turut berperang menentang musyrikin dalam bulan Ramadhan yang dinamakan Perang Badar dan beroleh kejayaan yang amat besar dengan pertolongan oleh Allah SWT. Semoga para pelajar mengambil iktibar dari kisah ini dan turut sama beroleh kejayaan yang cemerlang di dalam UPSR yang bakal menjelma.

Setelah hampir enam tahun para pelajar menimba ilmu, berusaha bersungguh-sungguh dan tibalah masanya para pelajar diuji dengan peperiksaan UPSR. Para pelajar telah gigih berusaha,perlu yakin diri, doa dengan seikhlas hati tanpa ragu-ragu dengan pertolongan ALLAH dan seterusnya bertawakal dan berserah kepada ALLAH mudah-mudahan segala usaha yang dilakukan akan mendapat kejayaan yang setimpal,INSYAALLAH.

Kami di Unit Bimbingan dan Kaunseling mendoakan para pelajar beroleh kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan UPSR 2009 dan GOOD LUCK!ALL THE BEST!