Isnin, 3 Ogos 2009

Program Motivasi Dan Pembelajaran Luar Bilik Darjah UPSR 2009 di Taman Putra Perdana, Putrajaya.

Pada 23 Julai 2009 Unit Bimbingan Dan Kaunseling bersama Jawatankuasa Kecemerlangan UPSR 2009 telah mengambil inisiatif untuk membawa murid-murid merasai satu suasana baru iaitu pembelajaran di luar bilik darjah. Program sebegini dirancang khas untuk murid-murid tahun 6 dengan tujuan untuk mengurangkan tekanan yang mereka dihadapi menjelang peperiksaan UPSR yang akan ditempuhi tidak lama lagi. Kehijauan taman dan kawasan lapang yang luas serta kondusif diharapkan dapat memberikan keselesaan dan semangat baru kepada murid untuk terus belajar dan mengulang kaji pelajaran.
Program ini diadakan di Taman Putra Perdana, Putrajaya. Sebuah kawasan taman yang cantik dan menarik yang terdapat di Putrajaya. Untuk menjayakan program ini seramai 15 orang guru dan 167 orang murid terlibat. Murid telah dibahagikan kepada 10 kumpulan dan akan bergerak ke 10 stesen yang telah disediakan dan diwakili oleh seorang atau dua orang guru yang bertindak sebagai fasilitator. Setiap stesen pula mewakili mata pelajaran - mata pelajaran tertentu dan masa yang telah diperuntukkan bagi setiap satu stesen ialah 30 minit untuk satu kumpulan. Makan dan minum peserta dan guru pada waktu tersebut disediakan. Adalah sesuatu yang menyeronokkan dan menggembirakan apabila melihat murid bergerak untuk mencari gurunya untuk belajar dan mendapatkan ilmu. Terima kasih kepada guru-guru terlibat terutamanya semua guru tahun 6 yang tidak kenal erti penat pada hari tersebut walaupun ada yang kering tekak kerana terpaksa bercakap tanpa henti. Semoga dengan usaha ini kita bakal mencipta sejarah lagi dengan melahirkan murid terbanyak untuk mendapat 5A pada tahun ini.