Selasa, 25 Januari 2011

Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru 2011

Gambar-gambar sekitar majlis berlangsung

Tanggal 25 Januari 2011 telah dianjurkan satu program di bawah Jawatankuasa Kecemerlangan UPSR 2011 dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling. Program ini dinamakan sebagai 'Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru (MUAFAKAT)'. Ia diadakan di Bilik Serbaguna SKPP9(1) dengan kehadiran peserta dari kalangan ibu bapa murid tahun enam yang akan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini.
Antara objektif penganjuran majlis ini adalah untuk memberikan kesedaran tentang pentingnya persediaan awal belajar, memberikan pendedahan awal dan maklumat mengenai UPSR, memantapkan kemahiran keibubapaan dalam pendidikan di rumah serta menanam kesedaran yang tinggi kepada ibu bapa dan guru agar dapat membantu melonjakkan prestasi akademik anak-anak pada tahun ini.
Ceramah motivasi kemahiran keibubapaan kali ini disampaikan oleh Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah ini iaitu En. Hussin Bin Ismail. Sebelum ini program yang sama diadakan ceramah disampaikan oleh Puan Kamisah Binti Jantan. Taklimat UPSR pula disampaikan oleh Puan Nik Sabariah selaku GPK Akademik. adalah diharapkan dengan pertemuan kali ini dapat membuka minda ibu bapa bahawa kerjasama antara ibu bapa dan guru merupakan pemangkin kecemerlangan anak-anak mereka.

Isnin, 24 Januari 2011

Sinar Kegemilangan 2011


Tahun 2011 adalah diharapkan menjadi tahun yang cemerlang bagi Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Putrajaya Presint 9 (1). Pelbagai kenangan manis menerajui unit ini akan terpahat sebagai ingatan dan kenangan. Antara yang paling manis ialah penubuhan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Kelab Bimbingan dan Kerjaya yang buat pertama kalinya ditubuhkan pada tahun 2010. Legasi ini akan diteruskan dan dibuat penambahbaikan pada tahun ini. Amat membanggakan apabila dua orang ahli PRS tahun lepas telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang iaitu dengan mendapat 5A dalam peperiksaan UPSR 2010 manakala dua lagi mendapat 4A 1B. Kini mereka berdua yang mendapat 5A telah berjaya melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh. Sekalung penghargaan dan tahniah buat mereka dari Unit Bimbingan dan Kaunseling serta dari kami Guru Bimbingan dan Kaunseling anda. Kalian ibarat permata yang kami temui antara pepasir yang banyak di lautan dalam dan akan terus bersinar dan berkilau sekiranya terus digilap.
Perancangan Unit Bimbingan dan Kaunseling tahun ini adalah untuk memantapkan penyampaian UBK dan sebaran maklumat kepada semua murid SKPP9(1). Justeru itu, medium teknologi ICT menjadi pilihan dan akan digunapakai semaksimun yang mungkin. Penggunaan blog dan laman sosial facebook menjadi pilihan. Adalah diharapkan semua murid mendapat manfaat daripada usaha murni ini. Bersama kita melakukan perubahan. "Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa."