Khamis, 10 September 2009

Coretan GBKSM1: Pengalaman Menjadi Pengawas Peperiksaan


Alhamdulillah hari ini pada pukul 3.45 petang tamatlah sudah murid-murid tahun enam menduduki peperiksaan UPSR 2009. Peperiksaan yang bermula pada 08 September dengan dimulai kertas Bahasa Malaysia (Pemahaman) dan berakhir pada hari ini 10 September 2009 dengan kertas Aptitud.

Untuk pengetahuan murid sekalian, tahun ini juga merupakan tahun kedua Cikgu bertugas sebagai pengawas peperiksaan. Tiada bezanya dengan tahun sebelumnya di mana selain menjadi pengawas peperiksaan Cikgu juga ditugaskan sebagai pengawas pengiring untuk mengambil kertas peperiksaan di bilik kebal bersama dengan ketua pengawas. Bilik kebal adalah sebuah bilik yang menempatkan soalan peperiksaan. Ia dikawal selia dengan rapi dari sebarang pencerobohan bagi memastikan tidak berlaku kebocoran maklumat terhadap soalan peperiksaan yang mungkin mengakibatkan peperiksaan itu terpaksa dilakukan semula. Untuk tujuan tersebut kami guru-guru pengawas terpaksa keluar seawal pagi untuk mengambilnya dan tidak dibenarkan berseorangan bagi menjamin soalan sampai tepat pada masanya dan murid dapat menjawab dengan sempurna.

Kali ini Cikgu dan dua orang guru dari sekolah lain ditugaskan untuk mengawas sebuah sekolah yang mempunyai seramai 43 orang calon yang menduduki peperiksaan UPSR. Banyak atau sikit calon sebenarnya tidak banyak mengurangkan tugas kami sebagai guru pengawas peperiksaan. Di sini ingin Cikgu kongsi sedikit pengalaman semasa bertugas sebagai pengawas peperiksaan. Kesempatan yang ada Cikgu dapat melihat ragam murid yang pelbagai. Ada yang tiba lewat dari masa yang sepatutnya berkumpul, menjawab tidak mengikut arahan soalan, menjawab dengan sambil lewa iaitu sambil kepala di meja seolah-olah berada di rumah sendiri, berulang alik ke tandas untuk setiap kertas peperiksaan, tidak sempat menjawab soalan apabila masa sudah tamat, mengotorkan meja dengan sisa asahan pensel dan pemadam, menjatuhkan alat tulis dan slip peperiksaan berulang kali, tidur apabila sudah siap sedangkan masa masih ada untuk tujuan semakan dan yang paling menyedihkan Cikgu dalam banyak-banyak yang diperhatikan terdapat sebuah kerusi kosong di samping murid lain menjawab soalan. Ini bermakna terdapat seorang murid yang tidak hadir selama tiga hari berturut-turut untuk peperiksaan ini. Tiada apa lagi yang hendak Cikgu katakan kalau sudah itu pilihan dirinya dan dengan kerelaan kedua ibu bapanya.

Begitulah serba sedikit catatan yang dapat Cikgu kongsi pada murid sekalian. Cikgu tahu terdapat juga murid Cikgu yang melakukan perkara yang sama sebagaimana yang disebutkan di atas. Tidak dinafikan dalam semua yang tidak bagus itu ada juga yang bagusnya. Sengaja Cikgu utarakan di sini yang negatif sebagai panduan agar kelak akan bertambah ke arah positif. Pesanan terakhir Cikgu, Jadikan peperiksaan kali ini sebagai pengalaman berharga murid sekalian. Jangan lakukan lagi kesalahan yang telah dilakukan dalam peperiksaan ini pada peperiksaan mendatang. Murid yang baik adalah murid yang belajar dari gurunya dan belajar dari pengalamannya. Semoga peperiksaan kali ini memberikan keputusan yang cemerlang dan menjadi kenangan manis buat dirimu, keluarga, sekolah dan Cikgu sendiri. Wassalam.

Tiada ulasan: