Rabu, 14 Oktober 2009

Diam-Diam Ubi, Walaupun Diam Tetapi Berisi

Agak lama cikgu tidak update blog ini walaupun sering dikunjungi oleh pengunjung setia tiap hari. Tiada entri baru yang dimasukkan dan tiada maklumat yang disampaikan kepada anda semua. Mohon maaf kerana tugasan sebagai administrator negeri membuatkan Cikgu sibuk kebelakangan ini. Terima kasih kerana masih setia menatap blog ini saban hari dan memberikan komen yang membina di ruangan bual terapeutik. Anda adalah sumber inspirasi Cikgu untuk terus menggunakan medium ini bagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru bimbingan tanpa mengira tempat dan masa. Terima kasih.
Sebagaimana peribahasa di atas, sebenarnya diam Cikgu bukanlah diam kerana tiada kerja yang dilakukan tetapi diam kerana banyak kerja yang dilakukan tetapi tidak dapat diwar-warkan kerana semuanya dalam perancangan dan memerlukan penelitian kerana ia melibatkan pihak luar. Alhamdulillah pada tahun ini Cikgu dan Cikgu Norlida dapat mengemudi Unit Bimbingan Dan Kaunseling SKPP9(1) dengan jayanya. Banyak program yang dirancang dan dilaksanakan di peringkat sekolah terutamanya untuk murid-murid tahun enam. Walaupun bilangan hari persekolahan tinggal beberapa minggu sahaja lagi tetapi program yang dirancang cukup padat dan penuh dengan informasi buat anda semua. Terbaru ialah program forum awal remaja yang akan menggandingkan beberapa tokoh yang pakar dalam bidang masing-masing. Program diadakan secara berasingan untuk murid lelaki dan perempuan. Untuk program ini Cikgu Norlida bertindak sebagai penyelaras program dan cikgu membantu dari segi pengisian untuk murid lelaki. Manfaatkan program ini untuk memahami dan lebih mengenali diri anda terutamanya untuk murid perempuan.
Selepas program tersebut, satu ceramah kerjaya akan diadakan dengan menjemput seorang kaunselor cemerlang juga khas untuk murid tahun enam. Minggu berikutnya disusuli dengan ceramah kesedaran tentang bahaya merokok dan penyalahgunaan dadah oleh wakil dari AADK dan Persada. Insya’Allah dalam tempoh tersebut juga cikgu akan tunaikan janji cikgu untuk menayangkan video hasil lakonan guru dan murid sekolah ini pada tahun lepas. DVD tersebut telah pun UBK miliki dan sama-samalah kita menyaksikannya kelak. Dalam pada masa yang sama Cikgu ditugaskan untuk menyusun bahan dan modul untuk aktiviti senggang pada waktu lawatan murid tahun enam ke Pulau pinang nanti. Harap dapat melakukan yang terbaik untuk anda semua.
Penutup sesi persekolahan satu kempen kebersihan besar-besaran akan diadakan bertujuan untuk memupuk budaya menjaga kebersihan dan kawasan persekitaran. Banyak hadiah akan diberikan untuk kelas dan individu. Jangan lupa untuk menyertai pertandingan yang akan dianjurkan dalam kempen tersebut nanti. Akhir kata, inilah yang Cikgu maksudkan "Diam-diam ubi, walaupun diam tetapi berisi."

Tiada ulasan: