Rabu, 14 Oktober 2009

Diam-Diam Ubi, Walaupun Diam Tetapi Berisi

Agak lama cikgu tidak update blog ini walaupun sering dikunjungi oleh pengunjung setia tiap hari. Tiada entri baru yang dimasukkan dan tiada maklumat yang disampaikan kepada anda semua. Mohon maaf kerana tugasan sebagai administrator negeri membuatkan Cikgu sibuk kebelakangan ini. Terima kasih kerana masih setia menatap blog ini saban hari dan memberikan komen yang membina di ruangan bual terapeutik. Anda adalah sumber inspirasi Cikgu untuk terus menggunakan medium ini bagi menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru bimbingan tanpa mengira tempat dan masa. Terima kasih.
Sebagaimana peribahasa di atas, sebenarnya diam Cikgu bukanlah diam kerana tiada kerja yang dilakukan tetapi diam kerana banyak kerja yang dilakukan tetapi tidak dapat diwar-warkan kerana semuanya dalam perancangan dan memerlukan penelitian kerana ia melibatkan pihak luar. Alhamdulillah pada tahun ini Cikgu dan Cikgu Norlida dapat mengemudi Unit Bimbingan Dan Kaunseling SKPP9(1) dengan jayanya. Banyak program yang dirancang dan dilaksanakan di peringkat sekolah terutamanya untuk murid-murid tahun enam. Walaupun bilangan hari persekolahan tinggal beberapa minggu sahaja lagi tetapi program yang dirancang cukup padat dan penuh dengan informasi buat anda semua. Terbaru ialah program forum awal remaja yang akan menggandingkan beberapa tokoh yang pakar dalam bidang masing-masing. Program diadakan secara berasingan untuk murid lelaki dan perempuan. Untuk program ini Cikgu Norlida bertindak sebagai penyelaras program dan cikgu membantu dari segi pengisian untuk murid lelaki. Manfaatkan program ini untuk memahami dan lebih mengenali diri anda terutamanya untuk murid perempuan.
Selepas program tersebut, satu ceramah kerjaya akan diadakan dengan menjemput seorang kaunselor cemerlang juga khas untuk murid tahun enam. Minggu berikutnya disusuli dengan ceramah kesedaran tentang bahaya merokok dan penyalahgunaan dadah oleh wakil dari AADK dan Persada. Insya’Allah dalam tempoh tersebut juga cikgu akan tunaikan janji cikgu untuk menayangkan video hasil lakonan guru dan murid sekolah ini pada tahun lepas. DVD tersebut telah pun UBK miliki dan sama-samalah kita menyaksikannya kelak. Dalam pada masa yang sama Cikgu ditugaskan untuk menyusun bahan dan modul untuk aktiviti senggang pada waktu lawatan murid tahun enam ke Pulau pinang nanti. Harap dapat melakukan yang terbaik untuk anda semua.
Penutup sesi persekolahan satu kempen kebersihan besar-besaran akan diadakan bertujuan untuk memupuk budaya menjaga kebersihan dan kawasan persekitaran. Banyak hadiah akan diberikan untuk kelas dan individu. Jangan lupa untuk menyertai pertandingan yang akan dianjurkan dalam kempen tersebut nanti. Akhir kata, inilah yang Cikgu maksudkan "Diam-diam ubi, walaupun diam tetapi berisi."

UBK SKPP9(1) Seiring Memanfaatkan ICT Dalam Perkhidmatan


Minggu lepas tiga buah komputer telah dimasukkan ke dalam bilik bimbingan dan kaunseling sekolah menggantikan sebuah komputer lama yang terdapat di bilik ini. Komputer berjenama Lenovo terbaru ini adalah hasil sumbangan pihak luar kepada sekolah. Atas keprihatinan dan inisiatif pihak pentadbir yang begitu bermurah hati dan memahami akan kepentingan unit bimbingan dan kaunseling maka tiga buah komputer telah diletakkan di bilik khas ini. Dua diletakkan di dalam bilik GBKSM dan satu diletakkan di ruang tamu untuk kegunaan murid mendapatkan bahan dan maklumat. Apa yang menari komputer ini mempunyai skrin yang besar. Selain itu komputer ini juga akan diisi dengan perisian bagi mengenal pasti tahap pemikiran dan kepantasan murid dalam pengajaran dan pembelajaran.

Sememangnya UBK ingin membitarakan perkhidmatannya kepada semua murid. Kewujudan blog ini adalah salah satu usaha kami dalam meningkatkan keberkesanan perkhidmatan. Fasa pertama proses pembitaraan unit ini telah dilakukan dengan mengumpul semua maklumat berkaitan. Insya’Allah tahun hadapan bilik UBK juga akan di naik taraf bagai memenuhi kriteria sebenar sebuah bilik bimbingan dan kaunseling. Doakan segala usaha kami dipermudahkan hendak-Nya. Kepada pihak pentadbir terutamanya Guru Besar Pn. Nafishah, terima kasih daun keladi kami ucapkan. Kalau ada apa-apa lagi selepas ini, kecil tapak tangan padang bola sekolah kami tadahkan. Jazakallahu khairan kathira.


Sabtu, 3 Oktober 2009

Kelakar: Unta Kluster


Ibu unta dan anaknya sedang berbual-bual. Anak unta kemudian bertanya kepada ibu unta,

Anak Unta: Ibu mengapa ketiga-tiga jari kaki saya besar?

Ibu Unta: Anakku, apabila kita berjalan di padang pasir yang pasirnya tidak pejal, jari kaki kita akan mengelakkan badan kita daripada tenggelam ke dalam pasir.

Anak Unta: Hmm.. benar juga kata-kata ibu ya. Ibu mengapa bulu mata saya panjang?

Ibu Unta: Untuk mengelakkan mata kita daripada dimasuki pasir apabila kita berjalan di padang pasir.

Anak Unta: Oh, begitu. Ibu mengapa saya mempunyai benjolan yang besar di bahagian belakang saya?

Ibu Unta: (Sedikit marah) Benjolan itu membantu kita menyimpan lemak supaya kita boleh bertahan tanpa meminum air dalam perjalanan yang jauh.

Anak Unta: Oh! Saya rasa sungguh bertuah! Kita mempunyai tapak kaki yang besar supaya kita tidak tenggelam ke dalam pasir, bulu mata yang panjang supaya pasir tidak masuk ke dalam mata dan benjolan ini untuk menyimpan air! tetapi ibu?

Ibu Unta: Apa lagi sayang?

Anak Unta: Mengapa kita berada di dalam taman haiwan??!!

GBKSM1: Kisah unta ini dipaparkan agar menjadi satu pengajaran kepada murid sekalian. Ingatlah sehebat mana pun kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dan pihak sekolah tetapi sekiranya murid sendiri tidak mahu, tidak tahu atau menyalahgunakan kemudahan maka tiada ertinya kemudahan tersebut disediakan. Sepatutnya sebagai sekolah yang telah diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan anda perlu memanfaatkan segala kemudahan yang terdapat sekolah ini dengan sebaiknya. Betapa bertuahnya anda di sekolah ini jika hendak dibandingkan dengan murid lain yang berada di sekolah luar bandar. Apabila prasarana sekolah kelas pertama, pastikan juga anda bermentaliti kelas pertama bukannya bermentaliti kelas ketiga. Fikir-fikirkan.