Sabtu, 4 Julai 2009

Tahniah Kepada Pemenang


Pihak UBK SKPP9(1) mengucapkan tahniah kepada para pemenang yang telah memenangi hadiah dan wang tunai sempena pertandingan mengarang cerita sempena cuti sekolah baru-baru ini. Majlis penyampaian hadiah telah diadakan pada hari Jumaat 03 julai 2009 di dataran perhimpunan dan disempurnakan oleh Pn. Nafishah Binti Hassan Guru besar SKPP9(1). Karya pemenang telah dipaparkan di dalam blog ini bersama dengan gambar pemenang. Semoga ia menjadi pemangkin agar anda lebih berusaha untuk menyertai pertandingan-pertandingan yang mengasah bakat dan minda selepas ini. Kepada peserta yang tidak memenangi pertandingan ini janganlah bersedih hati kerana karya anda juga hebat tetapi sudah menjadi adat pertandingan hanya satu yang akan dipilih. Terima kasih kerana menyertai pertandingan yang julung kali diadakan ini. Cuba lagi pada masa akan datang dan yakinlah bahawa anda adalah salah seorang murid yang terbaik di kalangan yang terbaik!

PENGALAMANKU SEMPENA CUTI SEKOLAH

Nama : Nur Hidayah Hanis binti Mohd Hanafiah
Kelas : 6 Argon


Cuti persekolahan datang lagi… aku berfikir bagaimana untukku habiskan masa selama 2 minggu ini. Pada minggu pertama cuti sekolah, masa dihabiskan dengan kelas tuisyen di sekolah. Pada waktu malam aku meneruskan masaku dengan menonton televisyen. Aku tertanya-tanya tentang perancangan yang perlu ku lakukan pada minggu kedua cuti sekolah. Pucuk dicita ulam mendatang.. ayahku mengajak ku dan ibuku untuk bercuti ke Terengganu memandangkan ayahku ditugaskan ke Terengganu selama 3 hari bermula pada hari Isnin. Ibuku juga telah diluluskan cuti tetapi hanya selama dua hari sahaja. Jadi kami membuat perancangan untuk bertolak ke Terengganu pada awal pagi Ahad. Ini berikutan ayahku dan ibuku perlu menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di Cheras pada hari Sabtu. Ini bermakna, aku berada di Terengganu selama 3 hari.
Hari ini Ahad,8 Jun, aku sekeluarga dalam perjalanan menuju ke Kuala Terengganu. Jam sedang menunjukkan pukul 8:15 pagi. Beginilah keadaan aku setiap kali merancang untuk bertolak awal pastinya selalu berlaku kelewatan akibat beberapa perkara kecil yang perlu diselesaikan. Ayahku selalu mengingatkan agar sentiasa menguruskan masa dengan baik. Dalam hatiku berkata bagaimana untukku bersiap awal sedangkan banyak perkara yang perlu diselesaikan seperti memberi makan hamster, ikan dan kucing (sebenarnya bukan kucing aku pun..).
Sebelum sampai ke destinasi, aku sekeluarga berhenti rehat dan makan di sebuah restoran di Cheneh, Terengganu. Makanan di restoran itu juga sungguh menyelerakan dan keadaan di kedai itu juga bersih (tapi..tahap kebersihan kedai itu adalah B). Apabila aku selesai makan, aku sempat menoleh ke sebelah kedai lain dan mendapati kedai tersebut mempunyai tanda A. Maknanya yang paling bersih.. (adoii..tak apa lah, lagipun dah habis makan dah..). Selepas makan, aku meneruskan perjalanan.
Kami singgah sebentar di kedai ibu saudaraku di Ajil. Aku sungguh gembira kerana dapat berjumpa dengan ibu saudaraku. Sewaktu di sana, aku, ibu, ibu saudara dan dua orang sepupuku singgah di kedai keropok ikan kegemaran ibuku. Selepas itu kami pergi ke kedai ‘sata’. Sata itu sejenis makanan yang diperbuat daripada ikan, kelapa muda dan cili. Rasanya sungguh enak. Makanan ini biasanya dibakar dengan menggunakan arang. Makanan ini juga ‘popular’ di kalangan orang Terengganu. Selasai membayar, kami berpatah balik ke kedai ibu saudaraku. Sementara makan, aku juga berpeluang melihat bapa saudaraku mengupas buah salak untuk dijadikan jeruk. Jeruk salak ini dijual dengan harga RM 2 sebungkus.
Pada jam 2:30 petang, aku sekeluarga meneruskan perjalanan. Kami tiba di Hotel Primula Park Royal pada jam 3:00 petang. Memandangkan pada musim ini musim cuti sekolah, hotel kelihatan sesak dengan pengunjung yang ingin menginap di hotel tersebut. Kami mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk mendapatkan bilik. Namun begitu, bilik yang diberikan kepada kami sekeluarga hanya menempatkan sebuah katil ‘Queen’ sahaja. Kami memandang dengan rasa janggal kerana sudah tentu tidak selesa untuk kami bertiga tidur di atas katil tersebut. Ayahku kembali semula ke kaunter untuk mendapatkan bilik yang lebih selesa dan ternyata usaha kami tidak sia-sia. Ayahku memberitahuku bahawa beliau telah bertukar kunci di kaunter. Setelah kembali semula ke bilik yang baru, aku dapati terdapat dua buah katil ‘super single’. Kami tersenyum lebar melihat bilik baru kami. Setelah berehat dan menunaikan kewajipan kami, kami memulakan rancangan pertama kami iaitu makan sotong goreng celup tepung (segar..baru naik dari laut) di Pantai Maras. Di situ juga kami menikmati ikan dan udang celup tepung bersama air batu campur. Perkara yang paling seronok pada waktu itu ialah sewaktu kami berebut-rebut dengan pengunjung lain untuk mengambil sotong yang baru diangkat dari kuali dengan menggunakan penyepit. Kali ketiga diangkat barulah kami mendapat sotong tersebut. Kami makan sotong itu dengan sungguh menyelerakan. Selesai membayar, kami pun beredar dari situ dengan perasaan gembira.
Semasa dalam perjalanan pulang ke hotel, kami ternampak beberapa payung putih di tepi pantai. Keadaan di situ kelihatan seperti di pasar malam. Aku meminta ayahku untuk membawa kami ke sana dan kebetulan pula pada waktu itu waktu maghrib. Ayahku menyatakan bahawa sekiranya aku mahu ke sana, kewajipan solat perlu ditunaikan dahulu. Terdapat dua buah masjid sewaktu dalam perjalanan kami. Aku meminta ayahku berhenti solat maghrib di masjid yang pertama. Ayahku meneruskan perjalanan dan berhenti di masjid yang kedua. Kami menunaikan solat maghrib di situ. Selesai solat maghrib, ayahku berpatah balik untuk membawa aku dan ibuku ke tempat tadi. Rupa-rupanya itu adalah Pesta Pantai untuk tahun ini. Banyak pondok yang diperbuat daripada buluh dan daun nipah kelihatan di persisiran pantai. Terdapat lebih kurang 40 buah pondok didirikan di situ sempena Pesta Pantai yang menggabungkan penduduk di dalam sebuah kampung. Acara pada malam itu adalah acara pertunjukkan wayang kulit. Aku tidak membeli apa-apa pun sewaktu berada di sana. Walaupun aku pulang dengan tangan kosong, aku berasa puas hati kerana dapat melihat keadaan di situ.
9 Jun, selesai bersarapan pagi, aku dan ibuku pergi ke tepi pantai untuk mengambil udara segar dan bermain layang-layang di situ. Malangnya cuaca pada waktu itu panas sehingga membuatkan ku berpeluh seperti berdiri di tengah padang bola sepak. Aku juga tidak berkesempatan untuk bermain layang-layang. Pada waktu itu juga, ibuku berjanji untuk menemani ku bermain layang-layang pada petang ini. Pada jam 10:45 pagi, aku dan ibuku pergi ke Pasar Payang untuk membeli barang. Di situ juga terdapat banyak jenis pilihan barangan yang boleh dibeli. Antaranya baju batik, kain pelikat, rantai kunci dan bermacam-macam lagi. Aku dan ibuku membeli barang seperti seluar, baju, kain batik dan kain pelikat di situ. Sebelum kami ke pasar, kami pergi ke kedai jahit untuk menempah baju seragam ibuku. Baju itu akan kami ambil esok memandangkan esok adalah hari terakhir kami di sini.
Pada waktu petang pula, kami sekeluarga pergi ke pantai untuk bermain layang-layang. Kebetulan pula pada waktu itu aku terserempak dengan dua orang rakan kerja ayahku (seorang lelaki dan seorang wanita). Ketika bermain layang-layang, rakan wanita ayahku mengajak aku dan ibu untuk bermandi-manda di laut. Aku juga sempat melihat ibuku berasa gelisah pada waktu itu. Lama dipujuk, akhirnya ibuku mengalah, kami bertiga bermandi-manda di laut dengan seronok manakala ayahku dan rakan lelakinya sedang berborak sambil memerhatikan kami bertiga.
Pada sebelah malam pula, kami sekeluarga dan beberapa orang rakan ayahku makan malam bersama di sebuah restoran di Marang. Perjalanan untuk ke retoran tersebut mengambil masa lebih kurang 15 minit. Makanan di situ juga sungguh memuaskan. Selesai membayar, kami pulang ke hotel dengan gembira.
Hari ini, 10 Jun, hari yang membuatkan aku rasa tidak berapa puas berada di situ kerana hari ini adalah bukan hari yang aku nantikan. Hari ini adalah hari terakhir aku dan ibu berada di sini. Walaupun kami berdua akan pulang pada jam 9:15 malam, aku berasa tidak puas hati kerana aku merasakan bahawa masa berlalu dengan cepat sekali. Walaupun kelihatan lambat, tetapi bagiku awal sekali kerana aku dan ibu bukan pulang dengan menaiki kereta, malah dengan menaiki kapal terbang.
Aku dan ibu ke kedai jahit untuk mengambil baju. Jam juga menunjukkan 3:30 petang. Pada jam 5:30 petang, kami sekeluarga pergi bermandi-manda di laut sekali lagi. Malangnya, kami terpaksa mandi sekejap sahaja. Ini kerana aku dan ibu terpaksa mengemaskan barang-barang dan cepat bersiap sedia untuk pulang.
Masa yang tak pernah dinanti-nantikan telah tiba. Jam sedang menunjukkan 8:45 malam apabila kami tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Selepas bersalaman dengan ayah dan menurunkan segala beg yang pelu dibawa pulang daripada boot kereta, kami berdua terus menuju ke Departure Hall (tempat berehat semasa menunggu kapal terbang tiba). Apabila kami menyimpan barang-barang di rak yang disediakan kami duduk di tempat kami. Aku berasa sangat gembira sewaktu berada di dalam kapal terbang.
Sebaik sahaja sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, kami mengambil barang lalu berjalan meluru ke stesen keretapi (ERL). Selepas kami tiba di Putrajaya Sentral, kami mengambil teksi sebagai kenderaan pengangkutan kami. Apabila kami tiba di rumah, kami mengemaskan barang-barang dan membersihkan diri. Selepas itu, kami ke dapur untuk makan malam walaupun jam sudah menunjukkan 10:30 malam. Ini kerana kami tidak sempat makan malam sebelum bertolak tadi. Selepas makan, kami berehat sebentar dan terus masuk ke bilik untuk tidur. Sebelum tidur, aku memikirkan sesuatu… ‘walaupun terpaksa pulang awal, aku tetap gembira kerana itu adalah kenangan manis ku sempena cuti sekolah ini… “Selamat malam…”

Melawat Ke Zoo Negara

Nama : Nurul Nadia Bt Khanapi
Kelas : 5 Mangifera

Pada cuti sekolah tahun lepas, saya dan keluarga saya pergi ke Zoo Negara. Pada waktu itu, saya lihat para pengunjung tidak berapa ramai lagi. Ini kerana, kami datang di sana pada awal pagi. Haiwan pertama yang kami lihat di situ ialah gajah dan zirafah. Saya berasa gembira kerana ini kali pertama saya dapat tengok gajah secara dekat.

Selepas lihat gajah dan zirafah, saya dan keluarga saya pergi jalan-jalan sekitar zoo. Semasa tengah jalan-jalan itu, saya dapat lihat banyak binatang. Contohnya seperti singa, harimau, buaya, ular, burung dan macam-macam lagi. Kami juga ada pergi melawat ke tempat orang utan. Saya berasa geli hati tengok telatah orang utan itu. Saya menangkap gambar bersama-sama orang utan itu.

Setelah penat berjalan-jalan, kami pergi ke suatu gerai makan yang ada di situ untuk mengisi perut yang sudah lapar. Selepas mengisi perut, kami pergi jalan-jalan ke gerai cenderamata. Saya lihat banyak cenderamata yang dijual di sini. Contohnya anak patung, baju dan sebagainya. Saya menyuruh ayah saya membeli baju yang terdapat di situ.

Kemudian, kami pergi ke tempat pameran kuda, burung dan ular. Di situ, saya dan kakak saya bergambar bersama-sama haiwan tersebut. Saya berasa takut dan geli untuk memegang ular sawa. Ibu pun tidak berani dan berasa takut juga untuk memegang binatang-binatang tersebut.

Saya dan kakak saya berasa sangat penat kerana kami asyik berjalan-jalan sahaja. Saya tidak melepaskan peluang untuk pergi melihat aksi anjing laut yang terdapat di Zoo. Aksi anjing laut itu sungguh kelakar dan menakjubkan. Kakak saya merakamkan kenangan itu di dalam kamera.

Dalam pukul 2 petang, makcik saya telefon ayah saya kerana dia hendak datang ke rumah pada waktu petang. Kami berasa kelam kabut untuk pulang ke rumah dengan cepat. Mak saya menyuruh ayah saya singgah ke Alamanda untuk membeli lauk untuk mereka. Dalam kereta, kami tertidur kerana terlalu penat berjalan. Akhirnya, saya dan keluarga saya sampai rumah pada pukul 4 petang.

BERCUTI KE TAMAN NEGARA, PAHANG

Nama : Nuraina Farhanah Binti Mohd Suffian
Kelas : 4 Cananga
'
Pada cuti sekolah baru-baru ini, saya sekeluarga telah melawat ke Taman Negara yang terletak di negeri Pahang. Kami ke sana selama tiga hari.
Sampai sahaja di Kuala Tahan, kami singgah di restoran terapung untuk makan tengahari dan solat Zohor. Selepas itu, kami menyeberangi sungai dengan menaiki bot untuk ke Mutiara Resort. Sampai sahaja di Mutiara Resort, ayah saya pergi membuat pendaftaran masuk ke bilik penginapan. Tempat penginapan saya adalah berdekatan dengan hutan. Saya ternampak seekor babi hutan sedang berkeliaran.
Pada hari kedua, saya dan ibu telah ke Lata Berkoh pada waktu pagi. Perjalanan ke sana mengambil masa selama dua jam dengan menaiki bot. Bot yang kami naiki tidak dapat meneruskan perjalanan. Kemudian, kami terpaksa berjalan di dalam hutan selama 30 minit untuk sampai ke Lata Berkoh. Ini adalah kali pertama saya memasuki hutan dan saya agak gementar. Sampai sahaja di sana, saya ingat di sana boleh mandi tetapi ia sangat merbahaya. Namun saya berkesempatan untuk melihat ikan-ikan dan memberi ikan makan. Spesis ikan yang dilindungi di sini ialah ikan kelah. Kemudian kami pulang dengan gembira sekali.
Sebelah petang pula, saya telah pergi ke perkampungan orang asli kaum Batek. Mereka merupakan kaum yang pemalu. Tok Batinnya bernama John Kumbang. Dia menunjukkan cara-cara untuk menghidupkan api dengan kaedah unik menggunakan kayu. Dia juga menunjukkan cara menyumpit untuk memburu binatang.
Pada hari ketiga, saya pergi ke Jambatan Kanopi. Ia adalah jambatan gantung yang terpanjang di dunia. Jaraknya ialah 500 meter. Saya terpaksa memasuki hutan untuk ke Jambatan Kanopi selama 30 minit. Apabila saya melangkah masuk ke jambatan itu, saya mula merasa amat gayat, namun saya memberanikan diri. Pemandangan dari atas jambatan sungguh indah menunjukkan kebesaran dan kehebatan ciptaan Allah.
Pengalaman ini amat bermakna bagi saya. Saya tidak akan melupakan pengalaman ini.

Isnin, 29 Jun 2009

Influenza A H1N1 : Lindungi Diri Anda

Berikut adalah info yang cikgu ambil dari laman Kementerian Kesihatan Malaysia berkaitan cara untuk mencegah penularan virus Influenza A H1N1 (Selsema Babi). Diharapkan murid dapat mengamalkannya bagi mengelakkan penyakit ini berjangkit seterusnya memberikan kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sekiranya anda menpunyai simptom-simptom seperti yang dinyatakan segera bertemu dengan doktor untuk mengesahkan status kesihatan anda. Bersama kita berdoa agar kita dijauhi dari penyakit ini.



*Sila 'Klik' gambar untuk besarkan dan fahami secara jelas virus Influenza A H1N1.

Rabu, 10 Jun 2009

Info Terkini Berkaitan Pertandingan Mengarang Cerita

Alhamdulillah.. terdapat sambutan yang menggalakkan dari murid-murid mengenai pertandingan mengarang cerita sempena cuti sekolah ini. Sudah ada peserta yang menghantar karya mereka melalui email dan cikgu tahu akan ada lagi peserta yang akan menghantarnya selepas ini sama ada melalui email atau terus kepada kami. Sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling kami memahami terlalu banyak kisah yang hendak diceritakan oleh murid-murid sekalian memandangkan cuti sekolah agak terlalu lama kali ini. Maka dengan ini, UBK SKPP9(1) bersetuju untuk melonggarkan sedikit syarat penyertaan iaitu peserta dibenarkan menulis melebihi 120 patah perkataan sekiranya mahu berbuat demikian.
Adalah diharapkan dengan pengumuman tersebut murid-murid akan lebih bersemangat berkarya di alam siber ini. Kepada yang masih belum menghantarkan karya jangan tunggu lama-lama. Abadikan kisah percutian anda untuk tatapan keluarga dan rakan anda seluruh dunia. "Pelajar rajin mencari jalan, pelajar malas mencipta alasan."
'
**P/S: Minggu hadapan GBKSM1 (Cikgu Hussin) tiada di sekolah kerana menghadiri Konvensyen Guru Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan. Segala urusan mengenai pertandingan ini akan diuruskan oleh GBKSM2 iaitu Pn. Norlida. Harap maklum.
'
'

Jumaat, 5 Jun 2009

Guidance & Counselling Unit


Ahlan Wa Sahlan to Guidance and Counselling Unit (G&C)


Reference section

Very comfortable for discussions

For those who never come to G&C Unit, please do so as you can share and get something that you could never expect before. Get relax and peace of mind in our room with cosy and warm ambience here. Come and meet us the counseling teachers, regarding any matter of your interest. InsyaAllah, we will entertain you at our best effort. Wait no more. See you there!

Selamat Bercuti..


UBK SKPP9(1) mengucapkan selamat bercuti kepada semua guru sekolah ini dan kepada murid-murid sekalian. Manfaatkanlah masa cuti ini dengan aktiviti yang berfaedah. Kepada pelajar2 yang akan menduduki peperiksaan UPSR, harus diingat bahawa masa cuti bukan bererti anda tidak perlu membuka buku untuk mengulangkaji pelajaran. Tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk anda menempuhi peperiksaan. Kejayaan anda dalam peperiksaan harus diberikan keutamaan. Buat yang lain, rehatkan fizikal, rehat minda, rehat jiwa dan tenangkan fikiran anda semasa cuti ini. Semoga ia dapat memberikan ketenangan dan semangat baru apabila memasuki semula alam persekolahan. Berhati2 sepanjang cuti persekolahan ini dan jaga keselamatan diri anda. Catat kenangan manis anda sepanjang cuti ini dan jangan lupa untuk masuk pertandingan mengarang cerita. Jumpa lagi!
'
'

Khamis, 28 Mei 2009

Pertandingan Mengarang Cerita..


Sempena dengan cuti sekolah ini Unit Bimbingan & Kaunseling SKPP9(1) akan menganjurkan satu pertandingan di kalangan murid-murid iaitu mengarang cerita berkaitan dengan peristiwa, pengalaman mahu pun aktiviti yang dilakukan pada masa cuti sekolah. Penyertaan terbuka kepada murid tahap dua ( tahun 4, 5 dan 6) dan hadiah menarik menanti pemenang. Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Manfaatkan masa cuti anda sebaiknya dan menangi hadiah apabila anda hadir ke sekolah kelak!!

Ahad, 24 Mei 2009

Good Luck In Your Exams!

Didoakan agar semua murid dapat menghadapi peperiksaan pertengahan tahun ini dengan jayanya. Hadir awal ke sekolah dan buatlah pilihan sebaik mungkin sebelum menjawab soalan. Sesiapa yang berusaha pasti akan berjaya dan sesiapa yang malas hanya kegagalan adalah miliknya. Be the best among the best!

Sabtu, 23 Mei 2009

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang


Unit Bimbingan & Kaunseling SKPP9(1) mengucapkan sekalung tahniah kepada guru-guru dan staf sekolah ini yang telah mendapat anugerah perkhidmatan cemerlang sempena Perayaan Hari Guru Peringkat Pejabat Pelajaran Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 23 Mei 2009. Anugerah disampaikan oleh Timbalan Pengarah PPWPP Tuan Haji Khairil Bin Awang. Semoga anugerah yang diterima ini membakar lagi semangat anda untuk terus berkhidmat dengan lebih gigih dan cemerlang di masa akan datang. Tahniah!!!

Guru-guru dan staf yang menerima anugerah ialah:
1) Puan Zaidas Binti Hamzah
2) Puan Juriah Binti Haji taib
3) Puan Rozilah Binti Md Khir
4) Puan Saliza Binti Saludin
5) Puan Sanisah Binti Samad
6) Puan Nasiam Binti Dahuri

Jumaat, 22 Mei 2009

Teknik Berkesan Menghadapi Peperiksaan

Menjadi tanggungjawab setiap murid untuk belajar sepanjang masa sekiranya ingin mendapatkan kejayaan. Kebolehan sepanjang persekolahan diuji di dalam peperiksaan. Oleh itu, hadapilah peperiksaan dengan persediaan yang rapi supaya kejayaan yang diraih dapat mengukur usaha anda selama ini.

JENIS-JENIS PERSEDIAAN

1. Persediaan Akademik
2. Persediaan Mental
3. Memulakan Peperiksaan
4. Menjawab Soalan

PERSEDIAAN AKADEMIK
Persediaan Akademik terbahagi kepada 3 peringkat iaitu :

Persediaan Peringkat Awal
Iaitu persediaan disepanjang waktu persekolahan. Ini termasuklah tumpuan semasa di dalam kelas, melengkapkan nota-nota, membaca semua mata pelajaran dan membuat nota. Fahamkan apa yang dipelajari dan rujuk kepada guru jika ada masalah.

Persediaan Peringkat Pertengahan
Iaitu kira-kira 2 bulan sebelum peperiksaan. Elok sekiranya murid membaca balik semua nota ringkas dan cuba ringkaskan nota kepada fakta-fakta yang penting sahaja. Buatlah kata-kata kunci untuk setiap nota. Untuk memastikan murid mengingati apa yang telah dipelajari, tuliskan kembali apa yang diingati. Pastikan anda faham setiap mata pelajaran. Untuk menguatkan ingatan, cuba berbincang dengan kawan-kawan. Buat latihan untuk soalan-soalan lepas bagi membiasakan diri dengan format soalan peperiksaan.

Persediaan Akhir
Iaitu seminggu sebelum peperiksaan. Baca kembali semua nota ringkas. Pastikan anda mengingati semua mata pelajaran peperiksaan. Nota ringkas seharusnya mengandungi kata-kata kunci sahaja. Semak nota sekerap yang boleh sehingga anada dapat menulis kembali isi sesuatu mata pelajaran dengan lengkap.

PERSEDIAAN MENTAL
Malam Peperiksaan

- Pastikan anda tidur secukupnya untuk memberi kesegaran pada esoknya.
- Kumpulkan keperluan teknikal untuk peperiksaan seperti pen, pensel, pemadam, pembaris, dan lain-lain kemudian letakkan di tempat yang senang diambil dan mudah diingati.
- Kuatkan azam dan tekad untuk BERJAYA.

Pagi Sebelum Peperiksaan
- Jangan lupa ambil sarapan pagi.
- Datang awal ke sekolah iaitu sekurang-kurangnya 15 minit sebelum peperiksaan.
- Berdoalah agar anda tenang menghadapi peperiksaan dan mendapat kejayaan yang cemerlang. - Masuklah ke tempat peperiksaan dengan disiplin dan keyakinan.
- Pastikan tempat duduk anda selesa. Duduk dan tenangkan fikiran anda.

MEMULAKAN PEPERIKSAAN
- Dengar arahan guru pengawas peperiksaan.
- Pastikan kertas soalan anda itu lengkap.
- Lihat semua soalan.
- Tandakan semua soalan yang hendak dijawab.
- Tuliskan isi-isi soalan yang hendak dijawab supaya tidak lupa.
- Mulakan soalan karangan dengan membuat rangka kasar terlebih dahulu.

MENJAWAB SOALAN
- Bahagikan masa untuk setiap soalan.
- Baca soalan dengan teliti. Kesankan perkataan BENAR, TIDAK BENAR, MELAINKAN, KECUALI dan sebagainya.
- Lihat semua pilihan jawapan.
- Pastikan jawapan ditanda pada petak yang betul.
- Jawab soalan yang mudah dahulu. Tandakan soalan yang belum dijawab. Setelah siap, kembali semula kepada soalan susah yang ditinggalkan.
- Jika ingin mengubah jawapan, padamkan dengan bersih dan tandakan jawapan baru dengan elok. Jangan menanda dua jawapan pada satu soalan.
- Jawab semua soalan yang ditetapkan.
- Setelah selesai menjawab, luangkan sedikit masa untuk menyemak. Pastikan nombor soalan yang ditulis adalah betul. Semak ejaan, ayat dan maklumat lain yang tidak jelas.
- Tulisan mestilah jelas, kemas dan mudah dibaca.


Persediaan yang rapi serta ketenangan fikiran amat penting di dalam menghadapi peperiksaan. Jadikanlah peperiksaan sebagai kayu ukur di atas persediaan yang anda buat selama ini dan bukanlah sesuatu yang menyiksa dan membebankan. Bertawakkallah kepada Allah, InsyaAllah anda pasti berjaya.

Rabu, 20 Mei 2009

Selamat Menghadapi Peperiksaan

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2009 SKPP(1) akan diadakan pada tarikh 25 hingga 28 Mei ini iaitu hari pada Isnin hingga Khamis minggu hadapan. Untuk itu cikgu lampirkan jadual peperiksaan tahap 1 dan tahap 2 sebagai rujukan murid dan ibu bapa. Selamat Maju Jaya!



Selamat Hari Guru dari UBK SKPP91

UBK SKPP91 mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru SKPP9(1). Semoga kita semua dirahmati dan diberkati Illahi. Buat anak murid yang ingin memberikan ucapan kepada guru-guru anda bolehlah berbuat demikian di ruangan 'comments' di bawah.

Selasa, 19 Mei 2009

Motivasi ABC


A = Asah Bakat Dan Potensi Anda
B = Bayangkan Cita-Cita Besar
C = Ciptalah Kehidupan Yang Baik
D = Doronglah Diri Anda Ke Puncak Jaya
E = Ehsan Sesama Manusia
F = Fikir Masa Depan Anda
G = Gambarkan Kemenangan
H = Hiburkan Diri Anda Dan Orang Lain
I = Impikan Apa Yang Boleh Anda Jadi
J = Jimat Cermat Dalam Segala Hal
K = Kesihatan Diri, Akal Dan Jiwa Harus Diutamakan
L = Lawan Nafsu Jahat Anda
M = Maafkan Kesalahan Orang Lain
N = Nekad Menanggani Masalah
O = Orang Lain Sumber Pengalaman Anda
P = Percaya Pada Ketentuan Illahi
Q = Qiamullail Mendekatkan Diri Kepada Allah
R = Restu Ibu Bapa Membawa Barakah
S = Sentiasa Mempunyai Semangat Ingin Mencuba
T = Tolonglah Orang Yang Memerlukan
U = Usaha Bersungguh-Sungguh
V = Visi Dan Misi Perlu Jelas
W = Waktu Sangat Berharga
X = X-Ray Dan Muhasabah Diri Selalu
Y = Yakin Kemampuan Dan Kebolehan Diri
Z = Zaman Muda Hanya Sekali, Jangan Sia-siakan

Assalamualaikum Semua

Rasa syukur dipanjatkan kehadrat Illahi kerana memberikan peluang untuk cikgu mewujudkan blog ini sebagaimana dirancang untuk murid-murid semua. Blog bimbingan 911 ini cikgu adakan khas untuk murid sekolah ini dengan tujuan untuk memberikan perkhidmatan sebaik mungkin disamping memanfaatkan teknologi yang sedia ada.
Dengan wujudnya blog ini adalah diharapkan agar murid-murid semua dapat mencari maklumat berkaitan pelajaran, motivasi seterusnya maklumat berkaitan bimbingan dan kaunseling secara langsung atau tidak langsung. Manfaatkanlah blog ini sebaiknya. Sekiranya terdapat pandangan dan cadangan bolehlah dinyatakan di sini. Sebarang masalah jangan lupa untuk bertemu dengan guru bimbingan dan kaunseling anda di sekolah. Jangan lupa untuk senyum 1... 2... 3... :-)